Thursday, January 27, 2005

Knowledge Is Power

Masa pantas berlalu dan kini hampir sebulan tahun 2005 telah berlalu. Aku seperti insan-insan yang lain di dunia ini juga mempunyai azam. Setelah setahun berada di bumi kenyalang aku sudah dapat menyesuaikan diri di sini dan tahun ini adalah tahun untuk membuat penyelidikan, buku dan perundingan. So, aku kena mula menulis untuk mengisi masa yang ada. Kali ini aku cuma nak berkongsi tentang corak dan halatuju pemikiran kita masa kini.

Hanya beberapa tahun dulu, kalau kita memiliki komputer yang mempunyai kapasiti seperti beberapa komputer meja yang kita miliki di pejabat kita sekarang kita mungkin memerlukan sebuah ruang sebesar ruang pejabat pentadbiran kita. Sekarang kita menyandang atau membimbit ‘lap-top’ atau ada yang membawa ‘palm-top’ atau PDA ke hulu ke hilir yang mempunyai kapasiti yang kalau dahulu komputer berkapasiti sedemikian tiadalah akan terpikul oleh kita.

Data-data yang dahulu dikumpul di dalam otak komputer yang tidak terangkat oleh Jaguh Angkat Berat Negara pun sekarang boleh disimpan dalam ‘thumb-drive’ sebesar ibu jari kanak-kanak. Dulu harga komputer hanya boleh dibeli oleh organisasi atau institusi besar sahaja. Kalau ada individu hendak membeli dia mungkin akan ke bank dan dia pasti hampa kerana sudah tentu pegawai bank akan tercengang dan tiada satu bank pun akan sanggup membiayai pembelian komputer untuk kegunaan peribadi.

Sekarang komputer yang berkeupayaan lebih besar daripada dahulu sudah menjadi barangan runcit mampu milik oleh hampir setiap orang. Dua puluh lima tahun dari sekarang apa pula akan terjadi? Apakah kita mempelajari dari pengalaman perubahan ini? Jika kita seorang pemerhati, banyak sekali pelajaran yang kita boleh kutip daripadanya. Pada perspektif organisasi, adakah kita, terutamanya di Malaysia, seperti juga saya percaya di agensi kerajaan yang lain, masih berfikir 25 tahun ke belakang?

Dua puluh lima tahun ke belakanglah kita jika kita masih berfikir bahawa untuk efektif kita mesti besar. Jika kita kecil, kita katakan terlalu banyak ‘constrain’. Lalu berlumba-lumbalah kita membesarkan organisasi, membanyakkan personel, menambahkan peruntukan kewangan. Hampir semua kerja ‘re-organization’ jabatan kerajaan bermakna membesarkan saiz kakitangan dan meminta tambahan peruntukan. Semuanya ‘up-sizing’. Saya setakat ini tak tahu jika ada mana-mana jabatan kerajaan yang membuat ‘re-org’ dengan mengambil tindakan ‘down-sizing’. Badan besar dan banyak wang diasosiasikan oleh fikiran lama dengan kekuatan dan keberkesanan.

Teknologi ‘nano’ ,ekonomi ‘k’ dan pengurusan 'k' telah menyebabkan kita mempersoalkan kepercayaan ini. Pencipta teknologi ‘nano’ meletakkan ‘constrain’ sebagai asas pemikiran mereka bekerja. Bagaimana memuatkan pelbagai perkara dengan volume yang besar dalam ruang yang kecil. Pejuang-pejuang teknologi ini berfikir bagaimanakah menukar ‘kecil yang dianggap constrain’ kepada ‘kecil suatu kelebihan atau advantage’?

Hasilnya saya telah menyebut ‘thumb-drive’ tadi. Dalam dunia perubatan, pembedahan adalah suatu yang sangat menakutkan pesakit. Oleh kerana takut dada atau perut terbelah, banyak orang Melayu terutamanya takut ke hospital jika ada penyakit dalaman. Mereka lebih yakin berjumpa bomoh atau pawang yang kemudiannya banyak yang mati seperti tidak dirawat. ‘Internal Surgery ’ dulu melibatkan luka besar yang akan ditanggung oleh pesakit. Pembedahan apendiks, misalnya, akan menyebabkan hampir separuh perut akan terburai dan selepas pulih, berparut panjang, itu pun jika selamat. Ada yang mati bukan kerana organ apendiksnya telah dipotong tetapi kerana komplikasi luka besar yang dialaminya. Sekarang membuang apendiks boleh dilakukan dengan hanya mengenakan ‘small incision’ melalui teknologi laparoskopik, yang selepas pulih mata kasar sukar mengesan di mana parutnya. Selepas pembedahan pesakit boleh keluar dan selepas sehari sudah boleh berjoging. Kerja yang sangat besar dilakukan dengan ‘ injury ’ yang sangat kecil. Kecil sekarang adalah suatu advantage.

Pendapat lama yang mengatakan wang adalah pra-syarat kekuatan juga telah dipersoalkan semula. Saya pernah mendengar bagaimana ada orang Malaysia yang latar belakang akademiknya bukan computer science atau library science, sekarang hanya duduk di rumah melakukan e-dagang secara berseorangan yang bernilai berbelas juta USD. Dia hanya menjual ‘design’nya kepada syarikat korporat antarabangsa di Hong Kong, Eropah dan Amerika Syarikat. Ada pula yang kemudian menjadi jutawan walaupun pada mulanya tiada wang. Dia menjual ‘pengetahuan’ yang unik yang ada padanya kepada ‘venture capitalist’. Orang kaya baru ini tidak perlu berniaga dengan organisasi yang besar dan tidak perlu ada produk yang memerlukan kontena besar untuk memindahkannya. Yang dipindahkannya hanya apa yang ada di kepalanya. Keadaan ini benar-benar merealisasikan kata-kata orang dahulu yang mengatakan ‘knowledge is power’ atau ‘kalam yang kecil lebih tajam daripada mata pedang yang lebih besar’:

If knowledge is power, then those who have knowledge will indeed have power.

Seperti yang pernah saya sebut pada pelajar saya, bahawa dulu kursus Diploma Library Science atau Sains Perpustakaan ini tidak diminati orang . Kalau adapun intakenya hanya setahun sekali dengan bilangan pelajar lebih kurang 150 orang sahaja. Namun kini bila namanya bertukar ke Pengajian Maklumat dan kini Pengurusan Maklumat jumlah pelajarnya jauh lebih ramai. Sekarang Fakulti Pengurusan Maklumat telah besar. Jumlah pelajar dan pensyarahnya jauh lebih ramai jika dibandingkan pada zaman 90an. Keluarga Fakulti Pengurusan Maklumat sudah melebihi 3,000 orang. Bagaimana Fakulti ini menjadi besar seperti sekarang? Tentulah pensyarah-pensyarah Fakulti terdahulu memberi justifikasi perubahan dan permintaan dalam bidang maklumat yang banyak sebagai alasan mengapa Fakulti ini mesti membesar. Pensyarah sentiasa ditambah dari semasa ke semasa. Sekarang kita berada di millennium baru. Ada tanda-tanda yang dunia baru memerlukan cara berfikir baru. Adakah keluarga Fakulti Pengurusan Maklumat sudah mula menyemak semula cara berfikirnya? Sampai bilakah kita mahu membesar untuk menjadi kuat dan berkesan? Sebesar mana kita hendak menjadi besar? Adakah kita hanya akan kuat dan berkesan setelah seluruh dunia memberi pengiktirafan kepada graduan Fakulti Pengurusan Maklumat?

Inilah halatuju pemikiran yang saya ingin bawa bersama rakan-rakan, anggota keluarga saya di Fakulti Pengurusan Maklumat Kampus Samarahan, Sarawak. Mungkin sampai masanya kita berhenti berfikir untuk ‘membesarkan diri’ secara simbolik dan real. Saya ulang ‘berhenti membesarkan diri secara simbolik dan real. Mari kita mula berfikir bagaimana kita boleh membuat kerja besar yang faedahnya juga besar dengan saiz yang konstan atau jika boleh menjadi relatif kecil? Bagaimana kita boleh membuat kerja besar dengan belanja yang juga relatif kecil?

Dalam konteks kenegaraan yang kita junjung, marilah kita mula memikirkan bagaimana Malaysia boleh menelan naga tetapi tidak hendak menjadi naga seperti Amerika Syarikat dan Japun. Sebaliknya ia tetap dengan identitinya sebagai ular lidi yang di dalam perutnya ada naga. Bumi Malaysia tidak akan banyak berubah walaupun gempa bumi bawah laut Lautan Hindi baru-baru ini dikatakan telah menenggelamkan sesetengah kawasan dunia dan mungkin menimbulkan suatu kawasan yang lain. Bolehkah rakyat Malaysia tidak berangan-angan untuk membesarkan saiz sempadan Malaysia tetapi menambah kapasiti rakyatnya seperti yang diseru oleh Perdana Menteri berkali-kali - setiap rakyat yang mempunyai sahsiah menjulang atau ‘ towering personality katanya.

Jawapan kepada sama ada menguasai teknologi ‘nano’ atau meningkatkan kapasiti ialah ‘K’. Pengurusan Maklumat atau Teknologi Maklumat telah membolehkan perolehan ‘K’ dengan relatif banyak dan cepat. Lambat laun teknologi ini akan membolehkan pengetahuan tidak lagi dikaitkan dengan hirarki, bahawa yang tinggi lebih banyak ilmunya. Jika ini berlaku dan dengan mengambil kira ‘knowledge is power’ dan ‘those who have knowledge will indeed have power’, hirarki dalam pentadbiran awam akan mengalami gerhana – Harlan Celeveland memanggilnya sebagai ‘the twilight of hierarchy’, yang katanya lagi ‘inevitable’ – tidak boleh dielak.

Akan ada orang yang berada pada hirarki tinggi dalam politik pejabat akan lebih rendah kuasanya daripada yang berada pada hirarki rendah. Untuk cuba menyelesaikan kegerhanaan ini hirarki atas akan menggunakan ‘kuasa politik simbolik’ yang diberi kepadanya. Dia akan ‘exert the assigned power to the `maximum limit’. Bila tak boleh juga dia bersedia untuk ‘go over-limit’. Selepas ‘over-limit’ biasanya dia akan meletup dengan sendirinya. Agensi, terutamnya 'central agency' , yang orang berkuasa di dalamnya, secara dalaman merasa rendah diri, sentiasa terdesak menggunakan ‘assigned power’ ini akan ditewaskan oleh ‘rational knowledge power’. Yang meletup nanti ialah keseluruhan agensi tersebut. Mudah-mudahan, apa yang terjadi selepasnya ialah kemunculan organisasi mendatar yang melihat kerja perlu dilakukan secara pasukan yang setiap ahlinya berpengetahuan dalam bidangnya dan setiap orang itu penting untuk menjayakan misi organisasi.

Kita boleh mengelak daripada melalui zaman transisi hipotetikal ini dengan mengambil jalan pintas. Caranya ialah setiap daripada kita akan berusaha menjadi manusia ‘K’. Melalui cara ini hirarki akan dicairkan dengan usaha bersama – atas dan bawah – dalam suasana yang sangat harmoni dan tidak akan mencederakan mana-mana anggota keluarganya. Inilah agaknya maksud Perdana Menteri (Dato’ Seri Abdullah) mengutarakan saranan ‘bekerja bersama saya, bukan bekerja untuk saya’. Di dalam konteks negara dan kerajaan, oleh kerana setiap orang secara hipotetikalnya menjadi manusia ‘K, rakyat tidak tidak lagi suka dipanggil rakyat. Sebaliknya mereka lebih selesa dipanggil sebagai pembayar cukai dan pelanggan.

Mereka akan melihat jabatan kerajaan sebagai konglomerat yang dianggotai oleh golongan profesional yang menjual perkhidmatan atau komoditi yang mereka adalah pelanggannya. Pada masa itu kita tidak tahu sama ada konsep ‘warganegara’ atau ‘citizen’ akan kekal maknanya seperti yang kita faham sekarang. Anggota konglomerat itu sendiri (yang sekarang dipanggil pegawai kerajaan) akan melihat dirinya menjadi pelanggan juga kepada beberapa sub-konglomerat yang lain. Dalam keadaan itu kerajaan dan awam sukar untuk dibezakan. Kerajaan sudah menjadi suatu ‘business’.

Peranan yang ditafsirkan sebagai ‘peranan kerajaan’ sekarang pun mungkin akan berubah. Kerja kerajaan pun, sekarang sudah kita dengar, dianggap sebagai suatu ‘business process’. Orang hidup tanpa banyak campur tangan kerajaan (mengikut kefahaman sekarang). Fungsi lama kerajaan mungkin hanya tinggal sebagai penjaga ‘public order’. Itu pun mungkin awam boleh serahkan kepada pihak awam / swasta untuk mengaturkannya, juga sebagai satu perkhidmatan yang boleh dilanggan. Dari aspek perundangan mungkin semua kes jenayah akan menjadi kes sivil – jika sekarang di mahkamah kes jenayah dianggap sebagai ‘citizen against the government’ dan sivil dianggap sebagai ‘citizen against citizen’. Mahkamah akan disatukan. Hukuman lebih berbentuk ‘compensation’ dan ‘beban pembuktian’ tidak lagi seperti asas mahkamah jenayah iaitu ‘beyond reasonable doubt’. Pertarungan hanyalah untuk menentukan siapa yang lebih benar. Yang kurang benar akan membayar ‘compensation’ yang dituntut oleh yang lebih benar.

Apakah implikasi semua ini kepada kerja-kerja pendidik yang mengajar di Sekolah atau Universiti? Inilah alasan mengapa saya berkali-kali menyeru kawan-kawan supaya Sekolah atau Universiti tidak menggunakan gaya ‘high-handed’ atau 'double standard' dalam berurusan dengan pelajarnya. Pihak atasan atau yang mempuyai kedudukan serta pangkat tidak boleh meminta atau memaksa orang menghormatinya. Pendidik , tidak lagi boleh kata ‘ikut kata saya’ sebaliknya pendidik mengajak pelajar-pelajarnya dengan seruan ‘marilah membangun dan berjaya bersama-sama dengan kami’.

Untuk menjadi cekap, untuk menjadi berkesan, Institusi Pendidikan tidak boleh lagi hanya umpama mendayung dan mengemudi perahu yang sudah di air. Sebaliknya Institusi Pendidikan mesti mampu melakukan keseluruhan urusan bermula dari membina perahu itu sendiri. Dulu saya selalu dengar kata-kata popular ‘let the manager manage’ berjaya membentuk kumpulan pengikut, bahkan ada yang menjadi pengikut fanatik. Nampaknya sekarang ideologi pengurusan itu sudah mula kehilangan pengikut. Sekarang ideologi pengurusan ‘let the manager lead’ sedang memperolehi momentumnya. Jika kita bacakan aspek ini bersekali dengan pandangan saya pada para sebelum ini yang berkaitan dengan seruan Perdana Menteri ‘bekerja dengan saya’, saya lihat ada keperluan untuk kita ‘re-invent’ cara bekerja kita:

Let’s work together to figure out what we’re going to do to make it happen. Gone are the days when effective leadership is seen as an effective management control instead we’re now in the era where we need to
conciliate, mediate, adjust, negotiate and solve problems together.
Instead of control, leadership energizes


Inilah cabaran kepada diri saya sendiri yang masih mengetuai Fakulti Pengurusan Maklumat Kampus Samarah untuk tahun ke-2 pada tahun 2005 ini. Dalam pada kotak-kotak pentadbiran seperti cawangan, itu perlu pada keadaan tertentu, kita juga mungkin perlu melihat kemungkinan membuka sempadan-sempadan ini bagi membolehkan ‘leadership’ tidak kaku berdasarkan sistem kotak sebaliknya berdasarkan dinamika individu yang mampu memimpin mengikut situasi.
Kepimpinan dalam tradisi silam Melayu sememangnya mangamalkan cara ini. Misalnya, semasa bergotong royong membuat rumah, Penghulu akan kehilangan keketuaannya, bahkan bersedia menjadi pengikut, sebaliknya yang pandai bertukang akan menjadi ketua. Selepas rumah terbina, Sipandai Kayu, akan menyerahkan keketuaannya kepada ketua yang lain bersesuaian dengan tugas bersama pada masa itu.

Perimbangan antara ‘ transcend boundary ’ dengan ‘ within boundary ’ inilah yang elok kita cari dan fikirkan untuk kita menjadi berkesan. Kerja setiap anggota tidak lagi ‘merely steering or rowing ', it must include building’ . Kita pula tidak sesuai terlalu bersemangat sehingga ‘fanatic boundary ’ sebaliknya rajin membuat ‘networking to build community’. Jika dunia ini dilihat dalam dunia fizik yang berpegang kepada ‘energy cannot be created nor destroyed’, apa yang berlaku di alam ini tidak akan mengurang atau menambah apa yang ada di dalamnya. Letupan gunung berapi Karakatua hanya dilihat sebagai bencana kepada hidupan semasa, tetapi tidak dilihat bencana apabila alam dilihat secara impartial. Selepas gunung berapi meletup, tanah di sekitarnya dikatakan akan menjadi lebih subur. Hidupan akan muncul semula dan berlakulah yang seterusnya. Demikian juga dengan ledakan teknologi penyebaran ilmu atau apa yang dikatakan 'information explotion' yang telah kita percakapkan dengan panjang lebar tadi. Mungkinkah merupakan bencana kepada suatu negara seperti Malaysia apabila setiap orang di dalamnya mempersoalkan semua perkara?

Oleh kerana orang sudah memiliki ‘K’, mereka meragui setiap perkara yang lama. Orang atau rakyat mula meragui semua institusi kerajaan, insititusi sosial, perniagaan, media bahkan agama. Tidak sedikit yang sudah hilang kepercayaan. Mereka merasa ‘helpless’. Mereka merasa semua institusi itu tidak dapat membantu mereka lagi. Mereka merasa ‘alienated’. Mereka merasa hubungan yang jujur antara mereka dengan institusi itu sudah tiada lagi. Setiap institusi termasuk diri mereka ada agenda-agenda ‘ulterior’. Tiada siapa yang ‘authentic’. Orang melihat terlalu banyak pihak bercakap sesuatu dan membuat sesuatu yang lain.

Mantan PM, Tun Mahathir selalu menyebut ungkapan kata ‘cakap tak serupa bikin’. Kita lihat bagaimana institusi agama, misalnya, yang ‘proclaim the moral high ground’ tetapi mengasingkan diri dari terlibat dalam usaha menyuburkan keamanan dan keharmonian. Dalam hal ini kanak-kanak dan anak-anak kita akan sentiasa melihat dan 'observe'. Mereka mungkin tidak bercakap tetapi terus melihat dan mengalami. Dalam aspek inilah ingatan Tun Dr. Mahathir dalam Konvensyen Perdana yang telah saya hadiri di Putrajaya International Convention Center baru-baru ini perlu benar-benar difikirkan:

Government instrument, must be sensitive to the voices of the citizens not merely during election campaign (atas asas keselamatan negara) but through all aspects of the design and implementation of public policy’.

Kakitangan kerajaan mesti menyokong usaha untuk menyuburkan budaya demokrasi. Bukan mudah. Kita mesti berusaha. Ada kalanya berani bercakap mengenai hal-hal yang selama ini tersapu di bawah permaidani atau tikar mengkuang . Memang ada kalanya takut juga tetapi rasa tanggungjawab akan mengatasi ketakutan itu. Selagi kita ‘claim’ yang negara kita mengamalkan prinsip demokrasi, maka kita tidak ada pilihan daripada berusaha melahirkan ‘good governance’.
Namun demikian saya tidak pula mengajak rakan-rakan sekalian untuk berani membabi buta dan tuli. Kita tidak perlu membuat reformasi. Kita berani dan bertindak dengan menyukat ‘K’ yang kita miliki. Kita tentukan kumpulan sasaran yang mampu kita ajak bersama. Saya pernah menyebut golongan muda terutamanya pelajar dan mahasiswa perlu menjadi keutamaan kita. Mungkin saya salah. Ini kita boleh kita bincangkan dalam groups atau forum dalaman kita nanti.

Banyak lagi keputusan yang akan kita debatkan dahulu dan akan laksanakannya bersama. Kita telah menubuhkan UiTM, mungkin tambahan kepada fungsi tradisional ITM dan Maktab RIDA. Segala-galanya masih terbuka. Kitalah yang akan mengisinya. Perkara itu bukan boleh diisi sehari dua terus menjadi. Yang berikutnya saya mungkin berbunyi orang tua yang suka membebel kerana saya akan kutip beberapa preskripsi dari orang lain yang disesuaikan, bagaimana hendak menjadi pegawai kerajaan yang berkesan pada masa hadapan ini. Antara sifat-sifat pegawai kerajaan yang berkesan nanti ialah mereka yang:-

  • Ada kualiti kepemimpinan iaitu berkemahiran dalam teamwork, menguasai penggunaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang tepat, boleh negotiate, mediate, menarik kerjasama, boleh menyelesaikan masalah dan boleh membuat keputusan dalam situasi yang multikultural. Ada keperluan untuk pegawai kerajaan dengan sengaja meletakkan dirinya dalam kelompok budaya lain yang dia tidak biasa.

  • Mahir berkomunikasi – menulis, bercakap atau oral, graphic/komputer dan satu bahasa lain dari bahasa Melayu.

  • Ghairah mengumpul maklumat, menganalisis dan menilai situasi.

  • Kritikal, kreatif dan mempunyai hujah etika atau ethical reasoning.

  • Berpengetahuan dan berkemahiran hubungan manusia dalam budaya pelbagai dan dunia yang terus menerus berubah. Mempunyai jaringan antarabangsa/dunia adalah suatu kelebihan.

  • Ada komitmen terhadap kesihatan diri sendiri – fizikal, psikologikal dan kesihatan emosi.

  • Menghargai kepelbagaian pengalaman manusia termasuk ada nilai keindahan/aesthetic dan terlibat dalam aktiviti kreatif.

  • Patuh kepada prinsip etika dan berkesadaran sivik dan bertanggungjawab kepada komuniti dan negaranya.

  • Boleh hidup selesa dalam hubungan antara kelompok, bahkan dalam dunia yang kompleks.
Semua itu sekali lagi meminta supaya setiap daripada kita menguasai ‘K’ yang tidak terhad kepada bidang kerjanya sahaja. Profesionalisme pegawai bukan terletak kepada kelulusannya. Antara kualiti seorang profesional ialah adanya sense of urgency. Pegawai dan ketua yang baik ialah dia yang sentiasa melihat semua perkara penting pada peringkat awal sebelum dia membuat hirarki kepentingan. Pegawai yang baik ialah yang bertindak serta-merta terhadap sesuatu permintaan yang munasabah untuk kebaikan organisasi atau bertindak segera terhadap yang sesuatu yang memerlukan dia bertindak. Pegawai yang baik bukan yang cerdik berbincang tentang bagaimana cerita rumah roboh sedangkan dia ada di situ semasa rumah itu belum roboh. Yang baik ialah dia yang sekurang-kurangnya boleh memberi amaran serta merta sebelum bencana menimpa.

Samalah seperti mereka di dalam bidang berkaitan yang mungkin boleh mengurangkan ‘casualties’ kesan Tsunami jika dia ada rasa sense of urgency memberi amaran kepada orang ramai walaupun mungkin amarannya itu tidak berlaku. Kepadanya memberi amaran ‘is nothing to loose’, tetapi kerana tidak memberi amaran kita mengalami kehilangan yang bukan kecil angkanya.

Saya memohon maaf kepada rakan-rakan semua sekiranya tulisan saya yang julung-julung kali ini seperti tidak berpijak di atas tanah. Banyak perkara saya kemukakan secara hipotetikal. Jalan ini memang saya pilih. Yang selebihnya kita akan buat dan bincang bersama-sama. Marilah kita rintis hutan di hadapan yang masih tebal yang kita pun tak tahu apa lagi yang ada di dalamnya. Meminjam kata-kata Tun Mahathir, hanya yang cekal dan tabah sahaja yang akan sama-sama meletak mercu tanda bangsanya yang berjaya.


No comments:

LinkWithin