Friday, January 28, 2005

Aktivitis Mahasiswa harus Berpandangan Luas

Hari ini saya ingin menulis soal perjuangan mahasiswa universiti yang kini dilihat semakin layu dan tidak bermaya. Kalau adapun Majlis Perwakilan Pelajar hanya gah dari namanya sahaja. Namun untuk memperjuangkan nasib pelajar adalah jauh sekali.
Di Malaysia, acapkali apabila kita berbicara mengenai aktivisme mahasiswa, seolah-olah wujud konflik antara isu-isu “besar” dan “kecil”. Isu-isu besar merupakan isu-isu politik nasional atau sejagat seperti menentang Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU); perbicaraan Anwar Ibrahim; penentangan terhadap pembinaan Sekolah Wawasan dan penaklukan Iraq oleh Amerika Syarikat. Isu-isu kecil pula ialah yang melibatkan kebajikan mahasiswa di kampus.

Seringkali aktivis mahasiswa mendabik dada bahawa mahasiswa perlu memperjuangkan isu-isu nasional dan tidak boleh mengabaikannya, mahasiswa merupakan conscience masyarakat dan bakal pemimpin negara. Pada waktu yang sama, mereka akan dikritik mengabaikan isu-isu yang benar-benar penting untuk mahasiswa. Kritikan ini bukan sahaja datang daripada pihak yang terancam dengan aktivisme “isu-isu besar” mereka, tetapi juga oleh mahasiswa-mahasiswa lain, termasuk yang kritis tetapi kurang senang dengan dominasi satu pihak sahaja dan pengabaian terhadap isu-isu yang lebih dekat dengan mahasiswa amnya. Mengapa konflik ini perlu wujud? Adakah salah kedua-dua isu, besar dan kecil diperjuangkan bersama-sama?

Pertama sekali, isu-isu “kecil” ini penting kerana ia melibatkan kebajikan mahasiswa. Seperti pepatah Melayu yang menyebut, “Kuman di seberang laut nampak, tetapi gajah di hadapan mata tak kelihatan”. Dalam situasi hari ini apabila majoriti besar mahasiswa yang kurang berminat dengan isu-isu politik nasional atau antarabangsa, ramai di antara mereka yang tetap mengambil berat tentang hal-hal yang melanda diri mereka sendiri di kampus. Isu-isu yang pernah diperjuangkan misalnya isu faedah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu dipergiatkan lagi dalam hal-hal lain seperti keselamatan mahasiswa di kampus, kos sara diri mahasiswa, perkhidmatan yang diberikan oleh universiti, pembentukan akhlak dan sahsiah warga kampus serta hak-hak kebebasan mahasiswa.

Kedua, perjuangan isu-isu “besar” harus dihormati sebagai salah satu daripada hak mahasiswa sebagai warganegara yang cukup umur dan matang. Sesetengah pihak, apabila dikatakan mahasiswa di luar negara diberi kebebasan, akan memberi alasan bahawa mahasiswa di Malaysia tidak matang. Alasan ad hominem tersebut alasan yang teramat lemah memandangkan Malaysia sendiri mengakui kebolehan warganegara berumur 21 tahun ke atas untuk mengundi di dalam pilihanraya. Jika boleh mengundi masakan tidak boleh berbicara, mempunyai fikrah siasah atau terlibat dalam isu-isu politik nasional, malahan antarabangsa?

Kita mungkin terlupa bahawa Presiden UMNO yang ketiga dan Perdana Menteri kita yang kedua, Tun Abdul Razak bin Hussin menganggotai think tank kiri Fabian Society dan parti Labour ketika menuntut di Britain pada 1940an, dan tidak lama selepas itu seorang penulis muda muncul di the Straits Times dengan nama pena Che Det. Penulis tersebut yang membicara isu-isu nasional dan bangsa Melayu kemudian menganggotai UMNO dan menjadi Menteri Pelajaran. Beliau yang bernama Mahathir bin Mohamad itu kemudian menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat.

Sekiranya negara kita sudah benar-benar maju dan melangkah ke hadapan, bukankah negara kita sudah bersedia untuk mahasiswa diberikan kebebebasan untuk terlibat dalam politik sebagaimana pemimpin-pemimpin negara kita pada waktu mereka masih lagi mahasiswa dahulu? Penglibatan mereka di dalam politik dan aktivisme tidak pula mendatangkan isu-isu keselamatan kepada negara – selain dari menyumbang kepada perjuangan kemerdekaan pada waktu itu.

Tuduhan bahawa mahasiswa dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu apabila mereka bersuara mengenai isu-isu “besar” menunjukkan ketidakmatangan naratif kritis terhadap aktivisme mahasiswa. Seolah-olah itu sahajalah kemampuan mahasiswa – sama ada untuk belajar atau untuk menjadi boneka – tanpa mengakui kebolehan mahasiswa untuk menilai sendiri sesuatu isu mengikut kebolehan dan idealisme mereka.

Di Britain menurut rakan saya yang pernah menuntut di sana katanya, kita melihat kedua-dua isu-isu besar dan kecil mendapat perhatian mahasiswa. Kumpulan-kumpulan parti-parti politik perdana melibatkan diri dalam politik mahasiswa menerusi Labour Students, Conservative Future dan Lib Dem Youths. Selain itu kumpulan-kumpulan berkepentingan lain seperti Persekutuan Pertubuhan Pelajar Islam UK dan Eire (FOSIS), Christian Union, Union of Jewish Students, Kempen Pendidikan Percuma, pelajar-pelajar sosialis serta yang bebas tanpa fraksi-fraksi yang khusus – semuanya turut serta dalam politik mahasiswa. Kesatuan Pelajar Kebangsaan (NUS) United Kingdom sekian lama dikuasai oleh Labour Students tetapi pada persidangan tahunan baru-baru ini yang saya hadiri sebagai pemerhati FOSIS, kepimpinan Labour akhirnya tumbang atas sentimen anti Labour yang menular setelah terlalu lama mereka menguasai politik mahasiswa, di samping perang di Iraq yang didokong Perdana Menteri dari Labour, Tony Blair dan cadangan kenaikan yuran di universiti.
Labour Students sendiri cuba menjauhkan diri mereka dari dasar-dasar kerajaan Labour dengan menentang kenaikan yuran universiti – yang merupakan isu “besar” kerana menjadi topik politik nasional tetapi juga isu “kecil” kerana melibatkan kebajikan mahasiswa. Mereka turut memperjuangkan isu-isu lain seperti pengurangan kemiskinan sejagat dan hutang negara-negara miskin, disamping menggalakkan toleransi di kampus-kampus dan membuka peluang pendidikan kepada semua lapisan masyarakat Britain.

Namun Labour Students tumbang jua kerana mereka dilihat gagal mewakili kepentingan mahasiswa dan terlibat dalam politik kepartian. Yang penting, sentimen tersebut disuarakan menerusi cara demokratik dan bukannya pengharaman penglibatan mereka atau campurtangan anti-demokrasi yang lain. Tidak timbul isu mahasiswa “tidak bersyukur” atau “menimbulkan perpecahan” jika mereka bergiat di dalam Conservative Future atau Lib Dem Youth, yang mewakili parti-parti pembangkang utama di Britain. Tidak juga kita dengar suara-suara sumbang bahawa mahasiswa hanya perlu belajar tanpa mempunyai fikrah politik atau melibatkan diri dalam kancah aktivisme.

FOSIS pula, meskipun matlamat utamanya ialah untuk menjaga kepentingan mahasiswa-mahasiswa Muslim (termasuk kebebasan memakai hijab dan penyediaan kemudahan ibadah yang mencukupi di kampus) turut bekerjasama dengan mahasiswa-mahasiswa lain dalam isu-isu yuran pendidikan dan toleransi di kampus. Pada tahun ini, buat pertama kali FOSIS berjaya mempunyai lebih 85 perwakilan menganggotai persidangan NUS, selepas sekian lama kebajikan pelajar Muslim terabai oleh aktivis-aktivis Labour, Lib Dem atau sosialis.

Pengajaran utama buat kita di Malaysia ialah aktivis mahasiswa harus berpandangan luas – dengan memperjuangkan isu-isu nasional serta antarabangsa; serta isu-isu kampus. Yang lebih penting lagi, mereka harus diberi ruang dan hak mereka untuk berbuat demikian tidak boleh dinafikan. Ini sebahagian daripada proses pembinaan negara yang bertunjangkan prinsip demokrasi dan bukannya ancaman kepada kewujudannya.
Pada masa yang sama, apabila aktivis mahasiswa dapat meluaskan lagi gagasan perjuangan mereka, maka semestinya mereka akan dapat melibatkan lebih ramai mahasiswa di kampus serta memberi keyakinan bahawa mereka bukan sahaja memperjuangkan isu-isu politik yang kelihatan tidak relevan tetapi isu-isu kebajikan mahasiswa yang relevan terhadap kehidupan setiap satu mahasiswa di universiti.

No comments:

LinkWithin